...:::AHLAN WASAHLAN:::...

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.
Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi, tidak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya.” Luah seorang isteri.
“Awak mungkin bercinta , tetapi tak kenal...” ujar saya.
“Tiga tahun bercinta masih tidak kenal? Mustahil,” balasnya.
“Kenal itu dengan akal dan hati. Mungkin semasa tiga tahun awak bercinta, kurang guna akal dan hati, hanya guna emosi dan nafsu.”
“Akibatnya ini?”
“Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa kenal hati budi.”

Begitulah antara dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya, akibat cinta yang tanpa kenal dia menderita. 


Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta dulu baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya menempah derita!
Tidak mengapa kalau kita berkenalan dahulu terus berkahwin dan kemudiannya bercinta. Seperti Siti Khadijah yang kenal kebaikan Rasulullah S.A.W dahulu melalui orang kepercayaannya, Maisarah. Terus meminang Rasulullah S.A.W berkahwin dan kemudian baru bercinta.
Untuk kenal orang yang baik, perlulah menerusi orang yang baik. Hanya orang baik yang mengenal orang baik yang lain, seperti mana hanya jauhari mengenal manikam.
Tidak mengapa sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi mesti didahului oleh satu perkenalan.
Apa yang perlu kita kenal?
Tidak lain tidak bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal untuk membina kebahagiaan dalam rumah tangga.
Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan kedua-duanya mencintai agama. Hal ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.
Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai tujuan...ada pelbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.
Menurut ajaran Islam, ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititikberatkan sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas tapak iman.
Antara prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh sebab itu apabila rumah tangga bergoncang, semaklah semula niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga, solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan?
            Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakan pada diri, “Wahai diri, kau berkahwin kerana Allah...” Insya Allah “talian hayat” perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula.
Selama mana prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah menjamin cinta antara pasangan suami isteri itu tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya allah rumah tangga akan kembali tenang walaupun ada pergolakan. Sudah tentu hati-hati yang mengingati Yang Satu akan mudah bersatu!
            Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya yang serba indah. Tetapi, cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam suatu ketika dahulu yang menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa (yang mengenal bakal menantunya) dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Tradisi itu berjalan dengan baik dan teratur kerana pada waktu anak-anak sudah dididik dengan asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu, anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu bapa yang baik, yang memilih orang yang baik untuk menjadi suami atau isteri kepada anak mereka.
Sementara ibu bapa pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya yang juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.
Niat yang tulus sebelum berkahwin akan membantu.  Jika tulus pasti lurus walaupun kadang-kadang bengkang-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi, jika awal-awal sudah bengkok, rumah tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan kembali.
            Oleh sebab itu, semasa memilih calon suami atau isteri mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud,  
“Dikahwini wanita itu atas empat faktor; harta, keturunan, rupa dan agama. Maka kahwinilah atas dasar agama, nescaya kamu akan mendapat kebajikan.”
            Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah kenal, berkahwinlah. Insya Allah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian berkahwin selepas itu baru kenal...
Eh, ini pelik? Tidak. Inilah praktikal dan realistik dulu, kini dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam filem Bila Cinta Bertasbih. Jika ia mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu, jelas digambarkan bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang yang baik. Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah. Tetapi, kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya apabila manusia bertasbihkan cinta- lalu kehendak Allah tunduk kepada cinta!
Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi, perkahwinan melalui “orang perantaraan” (match maker) yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dilaksanakan. Dan  perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.
Namun, ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadian dan lain-lain latar belakang calon. Namun, fokusnya tetap mengenal ’agama’ bakal calon.
Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman rapat. Tegasnya, tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah –payah mendapatkan “maklumat” tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat. 
Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang dipertemukan atas keredhaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakatnya. Thrill dan suasana suspen sudah semestinya ada yang boleh menambahkan lagi keindahan pertemuan pertama.
Bagi yang sudah lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Pastinya dalam perlaksanaan rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan mengekalkan suasana kemanisannya.
Antara tip yang baik ialah isteri sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.
Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan sama seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Hal ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.
Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.
Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudahlah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, hukum Allah disisih. Inilah fenomena lumrah alam dalam masyarakat hari ini terutamanya dalam kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.
Malangnya cinta yang diburu adalah cita palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu. Seseorang itu dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun, kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat berumah tangga cinta telah berkecai.
Bagi yang sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal megekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!
Terbukti, tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan! 
  
 Tulisan oleh: Pahrol Mohamad Juoi (Majalah Solusi Isu No.19)

No comments:

Post a Comment