...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Dedikasi untuk abah..

Sudah lama aku tidak melayarkan mata pena. Kali ini aku ingin menceritakan insan yang istimewa hadir dalam hidupku. Dialah seorang lelaki yang aku kagumi ketabahannya. Yang sentiasa sabar melayan karenah anak-anaknya, yang tulus bicara dan ikhlas perlakuannya. Dialah abah yang aku kagumi kasih sayangnya. Sungguhpun bagi kalian mungkin ini cerita biasa yang biasa didendangkan oleh orang-orang biasa. Tapi, bagiku inilah anugerah Allah yang yang tidak ternilai dalam hidupku. Abah yang ku kenali sejak aku lahir ke dunia walaupun jarang menyatakan sayangnya pada aku. Namun aku dapat merasai kasih sayangnya ketika dia berbicara denganku, bercerita itu dan ini padaku serta melayan karenahku.


Masih aku ingat ketika itu hari meremang senja, aku mengadu pada abah bahawa lampu bilikku rosak. Abah yang sedang berehat segera mendapatkan tangga dan memeriksa lampu tersebut. Setelah abah membaikinya, namun lampu di bilikku masih juga berkelip-kelip dan tidak mahu menyala. Abah tidak putus asa. Abah mencuba berkali-kali. Tapi, natijahnya mengecewakan. Tanpa berlengah lagi, abah masuk ke dalam bilik air kedua rumahku (* bilik air ini digunakan oleh ibu dan ayahku sahaja). Abah mencabut lampu kalimantang dalam bilik air tersebut, lantas menggantinya dengan lampu bilikku. Aku terkejut dan berkata:


“Abah, nanti abah nak guna bilik air tu nanti, takdak lampu macammana?”

“Abah takpe, awak tu”


Ringkas saja jawapan abah. Namun cukup membuatkan aku tersentak dan tersentuh hati.
Ya Allah mulianya hati abah, sanggup bergelap dan bersusah payah untuk anak-anaknya. Aku tak mampu menolak pengorbanannya saat itu. Diam-diam, hati ini mula menangis walau diri hanya membisu.

Pernah juga suatu hari aku hampir ketinggalan bas ekspres. Ketika itu, abah menghantarku ke terminal bas. Sedari mula perjalanan abah sudah memecut kereta selaju mungkin, gara-gara aku yang terlambat siap. Namun abah tak marah. Sesampainya di terminal bas. Bas kulihat hampir bergerak. Ketika itu, secepat kilat abah turun dari kereta dan berlari mengejar bas yang sudah mula bergerak. Abah melaungkan suaranya dengan sekuat hati memanggil pemandu bas tersebut. Bas akhirnya berhenti dan aku masuk ke perut bas terkedek-kedek. Namun, abah tak pernah marah. Hati aku tersentuh lagi. Sepanjang perjalanan aku mengingatinya.


Jujur aku katakan, abah tidak suka bermasam muka dengan anaknya dalam tempoh yang lama. Pernah suatu hari aku meminta izinnya untuk mengambil lesen motor (*ketika itu, aku sudah mempunyai lesen kereta). Itu bukanlah kali pertama aku meminta padanya. Tapi, entah kali ke berapa aku tidak pasti kerana telah berkali-kali aku meminta, tapi abah selalu melarang. Katanya ambil lesen kereta saja dah cukup untukku. Namun aku tak pernah putus asa memujuk, kerana mungkin abah tidak pernah mengemukakan alasan mengapa dia tidak membenarkan aku mengambil lesen motor. Setelah beberapa kali aku memujuk, abah memarahiku. Aku terasa hati lantas mendiamkan diri. Selepas itu, aku banyak mendiamkan diri saat bertembung dengan abah. Tidak seperti selalu kerana biasanya aku banyak menegur atau bertanyakan itu dan ini dengannya. Aku sedar bahawa abah dapat melihat perubahan sikapku. Apabila menyedari perubahan sikapku, abah cuba mengambil hatiku dengan banyak menegurku, mengajak aku makan bersamanya dan bertanyakan itu dan ini padaku. Aku melayannya seperti biasa walaupun lebih banyak mendiamkan diri. Tapi, akhirnya hati aku sedikit terubat dan akhirnya hubungan kami kembali seperti biasa.

Itulah kisah abahku. Aku berasa bertuah mendapat abah sepertinya. Kerana padaku, walaupun aku pernah merasakan abahku selalu mengecewakanku, selalu melarang kehendakku dan pernah memarahiku, namun aku percaya abah adalah insan yang terbaik yang Allah takdir untuk kehidupanku. Ayahku adalah ayah yang terbaik untuk diriku.
Di kesempatan yang ada ini, aku ingin merakamkan Selamat Hari Bapa buat abahku Hj. Kamaruzaman bin Abd Ghani. Terima kasih tidak terhingga kepada abah kerana selama ini sabar melayan karenah anakmu ini dalam mendidiknya menjadi seorang manusia. Sesekali adakalanya air mata ini menitis jua terutama ketika mengingatinya dan mendoakannya.

Sewajarnya, setiap hari adalah hari bapa kerana seorang bapa itu sangat istimewa dan dirinya perlu dihargai setiap hari. Seorang bapa biasanya amat jarang menyatakan sayangnya pada seorang anak tetapi percayalah kasihnya di hati kekal mekar bahkan tidak pernah pudar. Buktinya terpancar pada perlakuannya.
Sahabat, begitulah kasih sayang Allah, insan-insan di sekeliling kita ini merupakan insan-insan yang Dia takdirkan terbaik untuk kita. Oleh itu hargailah insan-insan di sekeliling anda selagi mereka masih ada. Untuk semua yang membaca bingkisan ini. Jangan lupa menghargai insan-insan yang tersayang di sekeliling anda. Hargailah mereka selagi nafas anda dan mereka masih terhela.

No comments:

Post a Comment