...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Menghampiri Israk mikraj


Assalamualaikum…
Semalam aku balik dari kerja agak awal kerana langit sangat gelap. Bimbang-bimbang hujan turun. Aku memecut motosikal membelah taman dan kampung. Laju.  Tujuanku satu, sampai di rumah sebelum hujan turun. Sesampainya di rumah, aku lihat ummi dan adik pertamaku dah bersiap nak ke majlis Israk Mikraj di surau kampung sebelah. Ummi kata majlis tersebut bermula selepas asar. Kerana terlalu penat melayan anak-anak di taska, lantas aku bercadang untuk berehat sahaja di rumah. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya, hujan turun mencurah-curah. Ummi meminta aku menghantarnya menaiki kereta. Aku mengikut tanpa banyak bicara.
Dalam perjalanan ke majlis, ummi mengajak aku ikut sekali. Memang kehendak Allah yang tentukan aku di sana. Sampai di surau, majlis telah pun bermula. Aku masuk melihat wajah penceramah undangan. Rupa-rupanya Ustazah Salmiyah, ustazah yang paling aku kagumi perjuangan dan kehidupannya. Melihat wajah ustazah Salmiyah, penat di badan bagaikan tak terasa. Ustazah lantang berbicara, sampai rasa mengantuk aku pun hilang.
Sedikit perkongsian yang aku dapat daripada pengisian ustazah. Mengenai peristiwa Israk Mikraj. Sebelum peristiwa tersebut, Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Yang paling menarik hatiku adalah ketika ustazah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W melihat kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Ketika itu juga saat Rasulullah S.A.W melalui suatu tempat, bau harum menusuk kalbu. Rasulullah bertanya, “ Bau harum apakah ini? Jibrail memberitahu : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
Rasulullah S.A.W. terjumpa dengan seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia.
Memetik firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 14 yang bermaksud:
“ Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik lagi kekal”

‘Diriwayatkan pada suatu ketika, Rasulullah S.A.W menghadap ke suatu tempat membuang sampah (mazhalah) lalu baginda memanggil para sahabat. Baginda seraya berkata:
“Ayuh, kejarlah dunia” kemudian baginda mengambil cebisan kain yang telah usang dan tulang-temulang yang telah reput seraya berkata,: “ Inilah dunia”.

‘Menurut riwayat yang lain, pada suatu hari, Rasulullah melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda:
“Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk air pun untuk minum si kafir.’
Bayangkanlah betapa hinanya dunia. Tapi, umat Islam hari ini sudah lupa akhirat, kerana cintanya mereka pada dunia. Syariat Allah dilanggar terang-terangan. Hukum Allah diketepikan. Zina berleluasa. Anak-anak dibuang, ditanam dan sebagainya. Umat Islam di ambang kejahilan.  Ada sebahagian daripada kita yang sudah tahu syariat, tetapi tidak berdaya melawan nafsu dan syaitan yang sentiasa membisik dan menggoda kea rah kejahatan.
Pernah Rasulullah S.A.W bertanya pada iblis, 
“Wahai iblis, apakah pandanganmu pada umatku?
Jawab si iblis, 
Umatmu ada 3 golongan. Golongan yang pertama ibarat sebiji bola yang boleh dilantun-lantun kemana saja yang ingin dituju. Golongan ini adalah golongan yang mudah terpedaya dengan hasutanku. Golongan yang kedua, adalah para nabi dan sahabat nabi Yang lansung tidak dapat diperdayakan. Manakala golongan yang ketiga ialah golongan yang main tarik tali. Kadang kala ketika aku menggodanya dia menang dan kadangkala aku yang menang”
Justeru, sentiasalah kita berwaspada dalam setiap bisikan halus di hati. Justeru dari manakah datangnya bisikan itu? Dari akal? Nafsu? Iman? Atau dari iblis laknatullah?
 La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyil ‘adzim.. 

Maklumat lebih detail. Sila klik link berikut: http://www.al-azim.com/~beringin/agama/israkdanmikraj.htm

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.
Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi, tidak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya.” Luah seorang isteri.
“Awak mungkin bercinta , tetapi tak kenal...” ujar saya.

Adik dah tahu!

“Adik, kau tahu tak. Dulu umat Islam ni hebat tau.”

“ Hebat macammana bang?”

“Hebatla...jadi pakar matematik, pakar sains, pakar perubatan. Orang Islam cipta ubat, jadi doktor.”

“Tapi, sekarang pun hebat juga bang. Ada orang Islam jadi pakar, jadi doktor kan bang”

“Tak hebat macam orang dulu dik. Orang Islam dulu jauh lebih hebat. Dia jadi pakar sains, matematik. Dalam masa yang sama dialah juga pakar hadis dan pakar tafsir Quran. Contohnya, Ibnu Sina. Tengok, dia seorang doktor. Ilmu bioperubatan macam buat ubat tu pun dia kuasai. Sampai sekarang kitab perubatan yang ditulis Ibnu Sina ni menjadi rujukan oleh pakar-pakar perubatan di Barat. Bukan Ibnu Sina saja. Ibnu Rushdi, Ibnu Haitham, Ibnu Khaldun dan macam-macam lagi. Semuanya cendikiawan-cendikiawan Islam. Boleh dikatakan umat islam Berjaya menguasai hampir semua bidang ilmu. Orang-orang di Barat semuanya cedok dari orang Islam.”

“Wow, betul ke bang. Ceritalah sikit?’

Dialog yang hampir sayup-sayup kedengaran itu tiba-tiba terhenti..

“Aku melamun apa pulak ni!”

Masa tu aku tersedar yang buku Formula Individu Cemerlang masih erat di tanganku. Buku tulisan Dr. Danial yang amat menarik perhatianku sedari dulu. Buku ini menyingkap rahsia umat Islam dahulu yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu. Serba sedikit aku ceritakan isi buku ini. Semoga kita mendapat ibrah dan manfaat.

Pernah suatu hari, Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity memuji umat Islam dengan berkata, “Renaissance atau era kebangkitan sebenarnya sudah berlaku di tangan orang-orang Arab dan Islam Sepanyol dan bukannya di tangan orang-orang Eropah”

Philip K. Hitti juga menyetujuinya. Beliau berkata “ Orang Islam Sepanyol Berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agung pada zaman pertengahan dahulu. Mereka sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutamanya antara abad kelapan dan ketiga belas Masihi.”

Apakah rahsianya sampai umat Islam boleh jadi hebat begini?


Antara sebabnya ialah cara fikir yang berbeza daripada orang lain.

Marmaduke Picktall dalam Islamic Culture berkata,” Semasa orang Islam keluar mencari ilmu dengan nama Tuhan, golongan Kristian menghancurkan khazanah ilmu yang dihasilkan oleh golongan terdahulu atas nama Nabi Isa.”
Bayangkan, seluruh dunia berubah kesan daripada proses perubahan yang dibawa oleh umat Islam. Cara dan budaya umat Islam yang unggul jadi contoh manusia sejagat.

Briffault juga berkata lagi, “ Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak bersuara meransang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi perancis, Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika dan perjuangan di negara-negara Amerika Latin. Sebenarnya konsep-konsep ini bukan hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya adalah ajaran Al-Quran yang dihayati oleh orang-orang Islam. Konsep-konsep ini kemudiannya mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan jika tidak kerana orang-orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali.

Dunia terutamanya Barat sepatutnya berterima kasih kepada umat ini kerana tanpa sumbangannya, dunia tidak dapat mengecap kemajuan dan pembangunan seperti yang dikecapi pada hari ini. Hal ini dinyatakan tanpa segan-silu oleh Carleton S. (Carly) Fiorina, pengerusi (CEO) Hewlett-Packard Company, semasa beliau menyampaikan ucapannya yang bertajuk Technology, Bussiness and Our Way of Life: What’s next pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.


Beliau berkata, “Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia.

Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan Utara, tropika dan padang pasir.

Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan.

Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang diguanakan dalam percakapan sebahagian manusia pada hari ini.

Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingannya.

Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke Negara China dan antara kedua-duanya.

Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru.
Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti.

Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma.
Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini.
Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya.

Penulis-penulis menulis ribuan cerita.
Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah Tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 Masihi. “

Adik terlopong kerana selama ini dia tidak pernah tahu. Kerana selama 15 tahun dia hidup dan bersekolah, dia tidak pernah dia mendengar cerita hebat tentang orang-orang Islam. Belajar sains pun, nama orang-orang Barat yang keluar. Kononnya Barat mencipta itu dan ini. Sedangkan Barat mencedok ilmu umat Islam.

Adik sudah tahu, Alhamdulillah..

Dedikasi untuk abah..

Sudah lama aku tidak melayarkan mata pena. Kali ini aku ingin menceritakan insan yang istimewa hadir dalam hidupku. Dialah seorang lelaki yang aku kagumi ketabahannya. Yang sentiasa sabar melayan karenah anak-anaknya, yang tulus bicara dan ikhlas perlakuannya. Dialah abah yang aku kagumi kasih sayangnya. Sungguhpun bagi kalian mungkin ini cerita biasa yang biasa didendangkan oleh orang-orang biasa. Tapi, bagiku inilah anugerah Allah yang yang tidak ternilai dalam hidupku. Abah yang ku kenali sejak aku lahir ke dunia walaupun jarang menyatakan sayangnya pada aku. Namun aku dapat merasai kasih sayangnya ketika dia berbicara denganku, bercerita itu dan ini padaku serta melayan karenahku.


Masih aku ingat ketika itu hari meremang senja, aku mengadu pada abah bahawa lampu bilikku rosak. Abah yang sedang berehat segera mendapatkan tangga dan memeriksa lampu tersebut. Setelah abah membaikinya, namun lampu di bilikku masih juga berkelip-kelip dan tidak mahu menyala. Abah tidak putus asa. Abah mencuba berkali-kali. Tapi, natijahnya mengecewakan. Tanpa berlengah lagi, abah masuk ke dalam bilik air kedua rumahku (* bilik air ini digunakan oleh ibu dan ayahku sahaja). Abah mencabut lampu kalimantang dalam bilik air tersebut, lantas menggantinya dengan lampu bilikku. Aku terkejut dan berkata:


“Abah, nanti abah nak guna bilik air tu nanti, takdak lampu macammana?”

“Abah takpe, awak tu”


Ringkas saja jawapan abah. Namun cukup membuatkan aku tersentak dan tersentuh hati.
Ya Allah mulianya hati abah, sanggup bergelap dan bersusah payah untuk anak-anaknya. Aku tak mampu menolak pengorbanannya saat itu. Diam-diam, hati ini mula menangis walau diri hanya membisu.

Pernah juga suatu hari aku hampir ketinggalan bas ekspres. Ketika itu, abah menghantarku ke terminal bas. Sedari mula perjalanan abah sudah memecut kereta selaju mungkin, gara-gara aku yang terlambat siap. Namun abah tak marah. Sesampainya di terminal bas. Bas kulihat hampir bergerak. Ketika itu, secepat kilat abah turun dari kereta dan berlari mengejar bas yang sudah mula bergerak. Abah melaungkan suaranya dengan sekuat hati memanggil pemandu bas tersebut. Bas akhirnya berhenti dan aku masuk ke perut bas terkedek-kedek. Namun, abah tak pernah marah. Hati aku tersentuh lagi. Sepanjang perjalanan aku mengingatinya.


Jujur aku katakan, abah tidak suka bermasam muka dengan anaknya dalam tempoh yang lama. Pernah suatu hari aku meminta izinnya untuk mengambil lesen motor (*ketika itu, aku sudah mempunyai lesen kereta). Itu bukanlah kali pertama aku meminta padanya. Tapi, entah kali ke berapa aku tidak pasti kerana telah berkali-kali aku meminta, tapi abah selalu melarang. Katanya ambil lesen kereta saja dah cukup untukku. Namun aku tak pernah putus asa memujuk, kerana mungkin abah tidak pernah mengemukakan alasan mengapa dia tidak membenarkan aku mengambil lesen motor. Setelah beberapa kali aku memujuk, abah memarahiku. Aku terasa hati lantas mendiamkan diri. Selepas itu, aku banyak mendiamkan diri saat bertembung dengan abah. Tidak seperti selalu kerana biasanya aku banyak menegur atau bertanyakan itu dan ini dengannya. Aku sedar bahawa abah dapat melihat perubahan sikapku. Apabila menyedari perubahan sikapku, abah cuba mengambil hatiku dengan banyak menegurku, mengajak aku makan bersamanya dan bertanyakan itu dan ini padaku. Aku melayannya seperti biasa walaupun lebih banyak mendiamkan diri. Tapi, akhirnya hati aku sedikit terubat dan akhirnya hubungan kami kembali seperti biasa.

Itulah kisah abahku. Aku berasa bertuah mendapat abah sepertinya. Kerana padaku, walaupun aku pernah merasakan abahku selalu mengecewakanku, selalu melarang kehendakku dan pernah memarahiku, namun aku percaya abah adalah insan yang terbaik yang Allah takdir untuk kehidupanku. Ayahku adalah ayah yang terbaik untuk diriku.
Di kesempatan yang ada ini, aku ingin merakamkan Selamat Hari Bapa buat abahku Hj. Kamaruzaman bin Abd Ghani. Terima kasih tidak terhingga kepada abah kerana selama ini sabar melayan karenah anakmu ini dalam mendidiknya menjadi seorang manusia. Sesekali adakalanya air mata ini menitis jua terutama ketika mengingatinya dan mendoakannya.

Sewajarnya, setiap hari adalah hari bapa kerana seorang bapa itu sangat istimewa dan dirinya perlu dihargai setiap hari. Seorang bapa biasanya amat jarang menyatakan sayangnya pada seorang anak tetapi percayalah kasihnya di hati kekal mekar bahkan tidak pernah pudar. Buktinya terpancar pada perlakuannya.
Sahabat, begitulah kasih sayang Allah, insan-insan di sekeliling kita ini merupakan insan-insan yang Dia takdirkan terbaik untuk kita. Oleh itu hargailah insan-insan di sekeliling anda selagi mereka masih ada. Untuk semua yang membaca bingkisan ini. Jangan lupa menghargai insan-insan yang tersayang di sekeliling anda. Hargailah mereka selagi nafas anda dan mereka masih terhela.