...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Kasih Sayang-Nya

Ada seorang lelaki separuh umur bekerja sebagai seorang mandur di sebuah syarikat pembinaan. Pada suatu hari, dia berhasrat untuk memeriksa sejauh mana penyempurnaan kerja pembinaan yang telah dilakukan oleh pekerja-pekerjanya.

Keesokan harinya, dia pun pergi terus ke tapak pembinaan tersebut. Ketika itu keadaan masih awal pagi, tapi dia tetap ingin pergi awal kerana berhasrat ingin melihat kesungguhan pekerja-pekerjanya.

Sesampainya di tapak pembinaan, dia mendapati bangunan itu kosong dan tiada seorang pun pekerjanya yang telah memulakan tugas sedangkan waktu masuk bekerja telah berlalu setengah jam yang lalu.

Tanpa membuang masa dia pun masuk ke dalam bangunan tersebut untuk memeriksa di setiap sudut bangunan yang hampir siap itu. Apabila sampai di tingkat yang teratas, dia melihat keluar tingkap sambil menghirup udara pagi yang nyaman. Sebaik sahaja melihat nun jauh di bawah bangunan, dia nampak dengan jelas beberapa orang pekerjanya bersenang lenang duduk di belakang bangunan dan mereka berehat di bawah pokok sambil berbual-bual. Hatinya geram melihat sikap pekerja-pekerjanya yang curi tulang tersebut dan berhasrat untuk memanggil mereka dari tingkat atas bangunan dengan harapan agar pekerjanya sedar bahawa mandur mereka sedang memerhatikan kegiatan curi tulang mereka.

Untuk menjerit memanggil pekerjanya dari atas adalah mustahil baginya kerana sudah pasti suaranya itu tidak kedengaran memandangkan bangunan tersebut terlalu tinggi. Setelah mendapat satu idea, dia pun membaling beberapa keping duit kertas yang digumpal-gumpal dengan harapan sebaik sahaja melihat duit tersebut jatuh dari atas, pasti pekerja-pekerjanya akan memandang ke atas dan melihat dirinya. Malangnya, sebaik sahaja duit tersebut jatuh, pekerjanya berlari-lari mendapatkan duit tersebut dan cepat-cepat mengambil serta memasukkan duit tersebut ke dalam poket masing-masing tanpa memandang ke atas walau sedikit pun.

Melihat keadaan itu, si mandur berasa sangat kecewa. Sekali lagi dia terfikir untuk menulis sekeping surat meminta pekerja tersebut melihatnya yang berada di atas. Setelah menulisnya, dia membaling surat tersebut ke bawah. Sebaik sahaja melihat ada sehelai kertas yang jatuh dari atas, pekerja-pekerja tersebut menyangkakan kertas tersebut adalah sampah lalu mereka pun merenyuk-renyukkan kertas tersebut lantas membuangnya ke dalam tong sampah.

Kecewa hati sang mandur tidak terkira, namun dia masih tidak berputus asa untuk memanggil pekerjanya itu. Lalu, dia pun membaling batu ke arah mereka. Batu tersebut mengenai badan salah seorang daripada mereka dan menyebabkannya cedera. Ketika itu, semuanya memandang ke atas dan kemudian barulah mereka tersedar bahawa mereka sebenarnya telah lama diperhatikan oleh mandur mereka. Malu tidak terkira mereka.

Kenapa mereka malu? Duhai sahabat, renungilah, di sebalik kisah si mandur dan pekerjanya ini tersingkap pengajaran yang amat dekat dengan realiti kehidupan kita.

Tanpa kita sedari dan mungkin tidak pernah kita fikirkan. Sebenarnya inilah satu kisah yang amat berkait rapat dengan rencah kehidupan kita.

Sedar tak kita, setiap detik dan ketika, gerak-geri kita sentiasa diperhatikan oleh Sang Pencipta.Tanpa kita sedar atau mungkin kita sedar tapi kadang-kadang kita sering terlupa lantaran alpa dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan-Nya pada kita.

Duhai sahabat, dalam kisah yang kutitipkan kali ini membawa analogi mudah untuk difahami di mana wang yang dilemparkan oleh si mandur tersebut ibarat nikmat dan kesenangan yang kita perolehi dalam kehidupan ini yang sebenarnya merupakan kurniaan daripada Tuhan. Apabila Tuhan memberikan kita kesenangan dan kemewahan, kita sering leka dengan nikmat-nikmat-Nya lantaran terlupa siapakah sebenarnya yang mengurniakan nikmat-nikmat tersebut kepada kita. Apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih pada-Nya.

Kuingin bertanya pada sahabat-sahabat dan diriku sendiri. Adakah mampu kita sebagai hamba ini mengucapkan rasa syukur setiap kali kita merasai nikmat-nikmatya? Nikmat yang Tuhan kurniakan pada kita tidak mungkin untuk kita menghitungnya, apakah mampu kita sebagai hamba ini, menzahirkan rasa syukur kita pada-Nya setiap kali nikmat-nikmat yang tidak terhitung tersebut diberikan pada kita? Sudah tentu kita tidak mampu. Tetapi Tuhan itu Maha Pengasih, Dia tidak pernah mengira betapa banyak hamba-Nya terlupa melahirkan rasa kesyukuran, apatah lagi untuk menzahirkan kesyukuran itu pada-Nya. Bahkan, nikmat yang diberikan-Nya tidak pernah berhenti. Kerana kasih-Nya Dia pada kita, Dia tambahi segunung nikmat sebagai balasan pada secebis kesyukuran. Maha Suci Allah Yang Mengasihi setiap hamba-hamba-Nya.

Surat yang dilayangkan oleh lelaki tersebut adalah dianalogikan sebagai wahyu Allah iaitu Al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk pada hamba-hamba-Nya. Dan batu yang dibaling oleh lelaki tersebut ibarat dugaan dan ujian daripada-Nya. Apabila Tuhan menurunkan wahyunya di dalam Al-Quran sebagai peringatan, kita lansung tidak mempedulikannya apatah lagi untuk membaca dan mengamalkan isi kandungannya. Jika kita membacanya kita mungkin tidak pernah berasa berat untuk memahami atau mempelajari maksudnya. Oleh kerana itu, Allah telah murka pada kita, namun kasih sayang-Nya tidak pernah pudar pada hamba-hamba-Nya.

Oleh kerana kasih-Nya Tuhan pada kita, Dia menurunkan ujian atau dugaan, ketika itu barulah kita mengingati Dia. Di saat itu, barulah kita sedar dan insaf. Rupa-rupanya kita ini hanyalah seorang hamba. Hamba-Nya yang setiap detik, dijagai-Nya, diawasi-Nya dan setiap hari akan sentiasa diperhatikan-Nya. Tika itu, barulah hati kita berbisik penuh syahdu, menyedari betapa kerdilnya diri yang hina ini.

”Ya Tuhan, aku sering terlupa bahawa aku sebenarnya telah diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi-Mu ini dan aku sebenarnya sedang memegang tanggungjawab yang amat besar daripada-Mu. Ya Rahim, andainya aku terlalai dengan nikmat-nikmat dunia maka kumohon pada-Mu Ya Allah, Engkau ingatkanlah aku dengan ujian-ujian-Mu, agar dengan ujian tersebut, aku akan sentiasa mengingati dan merintih pada-Mu”

Firman Allah S.W.T,

”Hai Iblis, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, Aku anugerahi umat Muhammad dengan dua kebahagiaan: Pertama, kasih mereka kepada-Ku dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipu daya (iblis) dan kedua, kemarahan mereka padamu (iblis), Aku jadikan kifarah (penebus dosa) di atas perbuatan maksiat mereka kepada-Ku.”

Biarpun umat Muhammad sentiasa melakukan maksiat kepada Allah S.W.T tetapi Allah S.W.T bukan sahaja memaafkan kesalahan hamba-Nya malah menganugerahkan pelbagai nikmat dan kebahagiaan untuk hamba-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.


*Cerita ini diadaptasi daripada kisah yang telah diceritakan oleh seorang ustaz kepada adikku yang kini berusia 16 tahun.

No comments:

Post a Comment