...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Lembaran Pertama Bergelar Pendidik

Hari ini merupakan hari pertama aku melaporkan diri di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat. Aku bersemangat yang luar biasa, Alhamdulillah, tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata betapa syukurnya aku pada Allah...

Pernahkah terfikir, betapa banyak urusan kita dipermudahkan oleh-Nya sampai kita sepatutnya terasa malu pada Allah kerana betapa banyak nikmat yang kita kecapi sedangkan syukur yang kita zahirkan hanyalah secebis.

Ya Allah, tetapkanlah hati kami untuk terus mensyukuri nikmat-Mu.

Seharian aku di sekolah buat aku belajar. Belajar menjadi seorang guru. Insya Allah sepanjang aku ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) dan berpraktikal, aku akan pastikan niatku semata-mata kerana-Mu Ya Allah. Aku ingin belajar menjadi seorang guru yang berdedikasi dan penuh keikhlasan.

Teringat kata-kata GPK kanan, Pn Khuzaimah siang tadi, katanya, jika mengajar betul-betul ikhlas, pulangannya akan kembali kepada kita. Pulangan bermaksud, anak-anak kita mendapat kejayaan dan kepuasan pasti dicapai. Tetapi itu bukanlah ganjaran yang utama harus kita sebagai seorang pendidik kejarkan. Yang lebih penting adalah ganjaran akhirat yang tidak terperi nikmatnya. Aku percaya sekiranya seseorang guru itu benar-benar ikhlas menyampaikan ilmu dan sabar dalam mendidik anak muridnya, di mana dia mengajar kerana ingin melihat anak didiknya berjaya di dalam hidup di dunia dan di akhirat, nescaya Allah membalasnya dengan ganjaran yang setimpal....Subhanallah.

Setiap guru yang dekat dengan Pencipta-Nya, mendambakan menjadi seorang guru yang berjiwa hamba dan khalifah. Berjiwa hamba, hatinya sentiasa dekat dengan Allah. Setiap detik hatinya ingat Allah. Jika ingin melakukan sesuatu perkara daripada sebesar-besar urusan sehinggalah yang terkecil, pasti hati kecilnya berbisik, “Adakah Allah redha akan perbuatanku ini?” Seandainya ia buruk, maka beristighfarlah hati guru itu menyesal atas niat tidak baiknya itu. Dan seandainya, perkara yang baik, ia diiringi dengan hamdallah memuji Allah atas ilham melakukan kebaikan yang dikurniakan oleh-Nya. Seandainya guru ini telah berazam, maka akan dipeganglah tekad itu sekemas-kemasnya. Tidak goyah dan tidak tunduk pada apa-apa pun yang ingin menggugat. Sekiranya guru ini telah terlanjur melakukan kesilapan, maka menangislah hatinya, imannya merintih. Dosa dirasakan umpama gunung yang akan menghempapnya. Betapa jauh dirinya dengan Tuhan. Lantas dia akan bangun di kedinginan malam. Tika dinihari itulah hatinya sayu mengenangkan diri yang penuh dengan dosa dan kehinaan atas keterlanjuran perbuatannya. Dalam tangisan kekecewaan, guru tersebut percaya bahawa Tuhan itu Maha pengampun. Penuh rahmat, penuh kasih sayang. Hatinya yang pedih menjadi sejuk mengenangkan kasih sayang Tuhannya, sambil berharap dan terus berharap mendambakan maghfirah-Nya.... Hatinya dipenuhi kecintaannya kepada Tuhan-Nya. Kasihnya tidak berbelah bahagi. Seandainya guru tersebut ingin memilih teman, dia akan memilih teman yang mendekatkan dirinya dengan Tuhan..Dia akan selalu berdoa, semoga suatu hari nanti dia dipertemukan Allah dengan insan yang apabila melihatnya hati teringat Allah, mendengar kata-kata teman tersebut menambah ilmu, melihat gerak-gerinya teringat mati....itu yang selalu didambakan guru tersebut. Justeru dia bertekad bahawa dia harus selalu kuat untuk konsisten dalam berdoa.

Guru yang jiwanya dekat dengan Tuhan itu juga mendambakan hati yang berjiwa khalifah. Berjiwakan khalifah di mana kehidupannya dihabiskan dengan berjuang menegakkan agama Allah melalui penyampaian ilmu, penyaluran kefahaman, dan penghayatan ilmu yang mendekatkan muridku dengan Tuhan. Strategi yang utama pastinya menguasai ilmu dunia dan akhirat yang seiring. Dia akan cuba jadi perancang yang terbaik dalam menyampaikan ilmu. Ini penting bagi mengelakkan muridnya bosan dengan pembelajaran. Bila murid berasa bosan, mereka tidak minat belajar, Justeru ini membantutkan pemikiran, idea, kebolehan, kecenderungan dan bakat yang mereka ada. Dia ingin jadi guru yang memberi peluang mereka mengembangkan bakat mereka semaksiimum mungkin. Agar mampu melahirkan, saintis, doktor, jurutera, ahli kimia yang bukan sahaja pakar dalam mereka cipta sesuatu yang canggih dan bermanfaat tetapi juga jiwa-jiwa mereka sangat dekat dengan Rabb-nya.


“Sekiranya kamu telah berazam, maka bertawakallah kamu kepada Allah....”



“JALAN-JALAN KEHIDUPAN”
18 Januari 2010
10:32 PM

Lenyaplah Semua Yang Kita Seru Kecuali Allah

Pada tahun 1413 Hijrah aku berangkat dari Riyadh menuju ke Dammam dan sampai di sana lebih kurang pukul 12.00 waktu Zohor. Aku keluar dari lapangan terbang dan terus menuju ke rumah temanku. Namun, pada jam itu, katanya dia masih di tempat kerjanya dan akan keluar agak lewat. Akhirnya, saya naik teksi menuju ke sebuah hotel. Di hotel, tidak banyak yang saya temui, hanya kesepian menemani. Saat itu bukan musim cuti dan reakreasi. Saya menyewa sebuah bilik di tingkat empat, agar lebih jauh daripada kegiatan para pegawai hotel dan para pekerja. Tidak seorang pun di tingkat atas itu.
Saya masuk ke bilik dan meletakkan beg di atas tempat tidur. Lalu saya masuk ke bilik mandi untuk mengambil wudhu’. Saya menutup pintu bilik mandi. Setelah berwudhu’, saya buka pintu bilik mandi, tetapi tidak dapat dibuka. Saya berusaha membukanya dengan pelbagai cara, namun pintu tersebut masih tidak terbuka. Tidak ada apa-apa di situ, tidak ada telefon yang dapat saya gunakan untuk memanggil seseorang, tiada rakan karib dan tetangga yang boleh saya panggil. Saat itulah saya ingat Yang Maha Kuasa. Saya berdiri di tempat itu selama tiga jam, namun rasanya seperti tiga hari. Dalam tiga jam itu, peluh saya membanjiri, hati terasa kering. Badan menggigil kerana beberapa hal:
1. Kerana ini adalah tempat yang sangat sempit dan asing.
2. Peristiwa ini terjadi dengan tiba-tiba
3. Kerana di sana tidak ada komunikasi sehingga saya tidak dapat memberitahu kepada teman atau kerabat, dan lebih daripada itu tempat itu adalah bilik mandi

Saat itu semua bayangan dan kenangan muncul. Peristiwa itu laksana gelombang yang terjadi dalam masa tiga jam.

Usia ini terasa begitu pendek hanya sejam
Dan bumi ini terasa sempit hanya sejengkal.

Akhirnya, timbul di fikiranku untuk menghentak pintu itu sekuat-kuatnya. Mulailah saya menggoncang-goncang pintu itu dengan badan saya yang kurus, lemah dan gementar ini. Ternyata saya lihat potongan besi terbuka sedikit seperti jarum jam. Kembali saya goncang pintu itu, dan setiap kali merasa letih, saya berhenti sejenak. Kemudian saya lanjutkan kembali, dan jika saya letih saya berhenti kembali. Akhirnya pintu pun terbuka, dan rasanya seperti keluar dari kubur. Lalu saya kembali ke bilik dan bersyukur kepada Allah atas apa yang telah terjadi. Terfikir olehku betapa manusia itu tidak berdaya, betapa upayanya sangat terbatas, dan kematian selalu mengintai dirinya. Juga, terfikirkan tentang sikap meremehkan yang ada dalam diri kita, dan tentang kelalaian kita tentang kehidupan akhirat kita.

Dan peliharalah diri kalian dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kalian semua dikembalikan kepada Allah...(Al Baqarah:281)

Di mana sahaja kalian berada, kematian pasti akn menemui kalian, sekalipun kalian berada di benteng yang tinggi lagi kukuh,,,(An Nisa’: 78)

Berkenaan dengan peristiwa yang kualami ini, sebenarnya aku sering membaca dan mendengar hal-hal yang menghairankan lagi sangat aneh. Misalnya ada orang mencari kematian, tetapi ternyata kehidupan yang dia dapat. Yang lain mencari kehidupan, tetapi kematian pula yang mereka temukan. Yang lainnya lagi mencari mencari kesembuhan dari penyakit yang dideritainya, tetapi justeru menemui kematian. Sementara yang lain sudah mempertaruhkan dirinya sebagai jaminan dan mendambakan kematian, tetapi justeru selamat dan sihat. Maha Suci Zat Yang Menciptakan, Yang Mengatur dan Maha Bijaksana.

Petikan buku La Tahzan (Jangan Bersedih) Jilid 3, tulisan Dr Aidh bin ’Abdullah Al-Qarni (ms 254-256)

RINTIHAN CINTA-MU, CINTAKU

Ya Allah...Ya Rahman..Ya Rahim..
Allahu Rabbi, aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cintaku untukMu berkurang
Hingga membuatkanku lalai
Akan adanya Engkau

Allahu Rabbi aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku
Dengan bilangan cintaMu yang tidak terbatas
Biar rasaku padamu tetap utuh
Allahu Rabbi
Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan
Untuk lebih mendekati cintaMu

Allahu Rabbi
Pintaku yang terakhir
Seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah kau palingkan
WajahMu dariku
Anugerahkanlah aku cintaMu
Cinta yang tak pernah pupus
oleh waktu..



- Pencinta-Mu Rabbi