...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Menghampiri Israk mikraj


Assalamualaikum…
Semalam aku balik dari kerja agak awal kerana langit sangat gelap. Bimbang-bimbang hujan turun. Aku memecut motosikal membelah taman dan kampung. Laju.  Tujuanku satu, sampai di rumah sebelum hujan turun. Sesampainya di rumah, aku lihat ummi dan adik pertamaku dah bersiap nak ke majlis Israk Mikraj di surau kampung sebelah. Ummi kata majlis tersebut bermula selepas asar. Kerana terlalu penat melayan anak-anak di taska, lantas aku bercadang untuk berehat sahaja di rumah. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya, hujan turun mencurah-curah. Ummi meminta aku menghantarnya menaiki kereta. Aku mengikut tanpa banyak bicara.
Dalam perjalanan ke majlis, ummi mengajak aku ikut sekali. Memang kehendak Allah yang tentukan aku di sana. Sampai di surau, majlis telah pun bermula. Aku masuk melihat wajah penceramah undangan. Rupa-rupanya Ustazah Salmiyah, ustazah yang paling aku kagumi perjuangan dan kehidupannya. Melihat wajah ustazah Salmiyah, penat di badan bagaikan tak terasa. Ustazah lantang berbicara, sampai rasa mengantuk aku pun hilang.
Sedikit perkongsian yang aku dapat daripada pengisian ustazah. Mengenai peristiwa Israk Mikraj. Sebelum peristiwa tersebut, Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Yang paling menarik hatiku adalah ketika ustazah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W melihat kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Ketika itu juga saat Rasulullah S.A.W melalui suatu tempat, bau harum menusuk kalbu. Rasulullah bertanya, “ Bau harum apakah ini? Jibrail memberitahu : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
Rasulullah S.A.W. terjumpa dengan seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia.
Memetik firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 14 yang bermaksud:
“ Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik lagi kekal”

‘Diriwayatkan pada suatu ketika, Rasulullah S.A.W menghadap ke suatu tempat membuang sampah (mazhalah) lalu baginda memanggil para sahabat. Baginda seraya berkata:
“Ayuh, kejarlah dunia” kemudian baginda mengambil cebisan kain yang telah usang dan tulang-temulang yang telah reput seraya berkata,: “ Inilah dunia”.

‘Menurut riwayat yang lain, pada suatu hari, Rasulullah melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda:
“Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk air pun untuk minum si kafir.’
Bayangkanlah betapa hinanya dunia. Tapi, umat Islam hari ini sudah lupa akhirat, kerana cintanya mereka pada dunia. Syariat Allah dilanggar terang-terangan. Hukum Allah diketepikan. Zina berleluasa. Anak-anak dibuang, ditanam dan sebagainya. Umat Islam di ambang kejahilan.  Ada sebahagian daripada kita yang sudah tahu syariat, tetapi tidak berdaya melawan nafsu dan syaitan yang sentiasa membisik dan menggoda kea rah kejahatan.
Pernah Rasulullah S.A.W bertanya pada iblis, 
“Wahai iblis, apakah pandanganmu pada umatku?
Jawab si iblis, 
Umatmu ada 3 golongan. Golongan yang pertama ibarat sebiji bola yang boleh dilantun-lantun kemana saja yang ingin dituju. Golongan ini adalah golongan yang mudah terpedaya dengan hasutanku. Golongan yang kedua, adalah para nabi dan sahabat nabi Yang lansung tidak dapat diperdayakan. Manakala golongan yang ketiga ialah golongan yang main tarik tali. Kadang kala ketika aku menggodanya dia menang dan kadangkala aku yang menang”
Justeru, sentiasalah kita berwaspada dalam setiap bisikan halus di hati. Justeru dari manakah datangnya bisikan itu? Dari akal? Nafsu? Iman? Atau dari iblis laknatullah?
 La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyil ‘adzim.. 

Maklumat lebih detail. Sila klik link berikut: http://www.al-azim.com/~beringin/agama/israkdanmikraj.htm

No comments:

Post a Comment