...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Alhamdulillah, akhirnya di sini


 Alam semesta ini adalah geraknya. Iradat dan kudratnya. Betapa asyiknya kita menatapnya dan memikirkan ayat-ayatnya. Dunia ini adalah madrasah bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
Allah menegaskan:
               “Bertakwalah kepada Allah. Allah akan mengajar kamu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 282).
Kita juga berharap Allah akan mengajar kita cara-cara memperbaiki dan mengatur kembali masyarakat ini. Umat Islam yang hebat akan lahir apabila kita berjaya menjadi hamba yang berzikir, di mana setiap kalamnya adalah dakwah, diamnya zikir, nafasnya tasbih, matanya rahmat, telinganya terjaga, fikirannya baik sangka, gerak hatinya doa, tangannya sedekah, kakinya jihad, kekuatannya silaturrahim, kerinduannya tegaknya syariat Allah dan kesibukannya asyik memperbaiki diri.
Sengaja aku coretkan bait-bait semacam ini kerana aku tertarik denganya. Alhamdulillah, setelah hampir tiga minggu tidak menulis tentang diri, akhirnya aku gagahkan juga tangan ini menekan kekunci yang sudah lama berhabuk. Sudah tiga minggu juga aku selamat diterima bekerja sebagai pembantu warden di asrama anak yatim di sebuah daerah pinggir bandar. Biarlah aku namakan asrama ini Raudhatul Hanan (bukan nama sebenar). Aku berasa bertuah berada di asrama ini. Damai dan jauh dari hiruk pikuk ibu kota. Berhampiran dengan asrama ini terdapat sebuah surau  yang hidup dengan majlis-majlis ilmu, pengajian kitab dan ceramah-ceramah agama. Di sebelah surau pula terdapat sebuah bangunan dua tingkat yang dijadikan pondok  moden untuk kediaman warga emas yang ingin menghabiskan sisa hidup mereka dengan aktiviti ibadah dan menadah kitab.  Mereka hidup dengan harmoni. Tiada kata yang mampu terungkap setelah aku di sini, melainkan kalimah Alhamdulillah sahaja yang lebih layak untuk-Nya.

Berkhidmat di sini mengajar aku banyak perkara. Positif dan negatif sama banyak. Namun, kugendong yang negatif dan bawakannya kepada positif. Di sinilah aku belajar erti kehidupan. Belajar erti hidup, erti syukur, erti ikhlas, erti rindu, erti kesepian, erti sabar dan erti tegas serta erti kasih sayang dan pengorbanan yang tidak bertepi. Rasa diri dihargai dan perlu menghargai.
Aku belajar erti syukur bila aku mula mengenali latar belakang anak-anak di sini. Tidak semua penghuni di sini adalah anak yatim yang tidak berbapa. Ada juga yang berstatus yatim piatu iaitu tidak beribu dan berbapa. Sebahagian lagi datang daripada keluarga yang pincang di mana bapa dan ibu mereka bercerai dan berkahwin lain. Akibatnya, merekalah yang menjadi mangsa keadaan yang tidak pernah dipinta.
Aku belajar erti ikhlas bila kerja-kerja kebajikan begitu banyak tersedia di sini. Menyapu, membasuh, mengemas, mencuci dan mendengar masalah anak-anak di sini. Aku sedaya upaya berusaha menjadi pendengar yang baik, selain daripada belajar menjadi seorang warden yang tegas dan penyayang. Situasi di sini banyak merubah diriku yang dahulunya tidak pandai bertegas dan berkeras. Bayangkan, dua minggu pertama di sini aku terpaksa berpura-pura menjadi seorang pembantu warden yang tegas dan tidak mempunyai secoret senyuman. Bukan sengaja. Tapi, aku ingin mendidik mereka agar lebih berdisiplin dan menjaga masa.
Aku belajar erti sabar bila mana setiap hari aku dihadapkan dengan karenah mereka yang berbagai-bagai. Ada yang menangis, merajuk dan melenting bila di marah. Aku hadapi juga. Aku cuba bersabar untuk itu. Itulah kehidupan. Tanpa cabaran, ia takkan menjadi indah.  Dalam diam-diam aku kagum dengan Kak Haida, warden di sini yang sentiasa menghulurkan kata-kata semangat padaku tanpa jemu. Dia berkelulusan UIA dalam bidang Fiqh, namun sanggup meninggalkan kerjaya-kerjaya lain dengan pendapatan yang lebih lumayan. Semuanya demi sayangnya pada anak-anak di Raudhatul Hanan. Dia tidak sanggup melepaskan status warden itu kerana bimbang tanggungjawab itu jatuh pada mereka yang tidak faham Islam. Itulah pengorbanan yang tiada bertepi.
Harapanku, semoga Raudhatul Hanan ini dirahmati Allah dan semakin bersinar dengan penghuni-penghuninya dalam jalan hidup islam. Bila saatnya aku terpaksa menyambung perjuanganku di tempat lain, aku pasti merindui bumi ini.

No comments:

Post a Comment