...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Berakhirnya Syaaban Datangnya Ramadhan

“Tak lama lagi dah nak Ramadhan, bertambahlah rezeki anak-anak kat sini.”
“Yea..yea tak lama lagi dah nak puasa, bestnya dapat berbuka ramai-ramai”
“Ea..start puasa bila yea? Hari apa orang tengok anak bulan tahun ni?”
Pelbagai dialog yang keluar dari mulut-mulut manusia di sekeliling kita tatkala Ramadhan mula menampakkan dirinya.


Bila saatnya Ramadhan hampir tiba, manusia ternanti-nanti dan rasa tidak sabar menyambutnya. Bagi si peniaga makanan, Ramadhan adalah bayangan duit dan keuntungan. Bagi si anak kecil, Ramadhan itu bayangan makanan yang lazat dan enak-enak. Bagi sang dermawan, Ramadhan itu disambut dengan rasa syukur kerana ia bayangan pada kepuasan dalam bersedekah. Bagi ahli ibadah pula Ramadhan itu bayangan pahala amal soleh yang berlipat kali ganda. Tapi, bagi sang pencinta Ilahi, Ramadhan disambut dengan penuh ketenangan. Ia bayangan anugerah-Nya yang tak ternilai. Kerana di dalamnya ada satu malam yang mereka rindui dan dambakan.
Bila menyebut ‘Ramadhan’ ia merupakan ‘Penghulu Segala Bulan’. Ia merupakan bulan yang difardhukan bagi semua umat Islam supaya berpuasa sejak dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Mari kita renungi sebuah hadis Nabi S.A.W yag bermaksud:

“Sudah datang kepadamu satu bulan yang diberkati oleh Allah dan diwajibkan kamu untuk berpuasa sepanjang bulan itu. Pada bulan itu, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan para syaitan dibelenggu. Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang menghormati kebaikannya, sesungguhnya dia dihormati”
                                                                                            (Direkodkan oleh Ahmad, Nasaie dan Baihaqi)

Bulan Ramadhan merupakan madrasah yang mendidik seorang hamba supaya menahan nafsunya. Walaupun pada bulan Ramadhan, syaitan dan iblis dirantai, namun manusia masih dibekalkan nafsu yang sentiasa mengarahkan kita kepada kejahatan. Nafsu juga lebih besar daripada syaitan 70 kali ganda. Sejarahnya bermula apabila nafsu dan akal dicipta oleh Allah.
Pada masa itu, Allah bertanya akal, “Man anta? (siapakah kamu)?”
Maka jawab akal, “Aku hamba-Mu dan Engkau Tuhanku”
Allah mengulangi pertanyaan-Nya yang sama kepada nafsu, “ Man anti? (siapakah kamu)?”
Maka jawab nafsu: “ Kamu, kamu. Aku, akulah”.
Betapa angkuhnya nafsu yang lebih bersifat perempuan berbanding akal yang bersifat lelaki. Perbezaan sifat itu boleh dibezakan bila perkataan anta dan anti digunakan. Lalu Allah campakkan nafsu ke dalam neraka selama 100 tahun. Setelah dibakar hidup-hidup, nafsu dikeluarkan lalu Allah mengulangi pertanyaan-Nya. Namun, nafsu masih menjawab, “ Kamu, kamu. Aku, akulah”.
Lalu sekali lagi nafsu dicampak ke dalam neraka dan dilaparkan tanpa diberi makanan dan minuman. Setelah 100 tahun, nafsu dikeluarkan dan nafsu ditanya kembali oleh Allah,
“Man anti (siapakah kamu)?”
Maka barulah nafsu menjawab, “Aku hamba-Mu dan Engkau Tuhanku”.
Dengan sebab demikian, sebagai umat Islam, kita difardhukan berpuasa agar kita dapat menundukkan nafsu selama sebulan lamanya. Sekiranya kita berpuasa dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu.
Siapa yang tidak ada dosa. Setiap insan mempunyai dosa. Allah menciptakan dosa dan pahala kerana di situ ada hikmah. Berasa berdosa itu baik kerana itulah yang membuatkan manusia merintih di malam hari. Berasa berdosalah membuatkan manusia berdoa pada-Nya setiap hari. Berasa berdosalah membuatkan manusia mengambil pengajaran dan berazam supaya tidak mengulangi kesilapannya.
Dalam kita melalui detik Ramadhan yang barakah ini, sedikit perkongsian di sini mengenai tujuh cara bagaimana untuk kita melakukan pembersihan dan pemurnian jiwa:

1. Menghentikan perbuatan maksiat dengan serta-merta.
2. Mengagungkan kebesaran Allah.
3. Menyesal dengan perbuatan dosa yang dilakukan.
4. Berasa insaf dengan perbuatan jahat.
5. Bertaubat dengan benar-benar ikhlas.
6. Berazam tidak mahu kembali melakukan perbuatan dosa.
7. Memuhasabah diri tentang amalan yang dilakukan.

Bersama-samalah kita di bulan barakah ini kita melakukan pembersihan yang sesungguhnya. Doakan supaya kita terus istiqamah melakukan amal-amal soleh yang mendekatkan kita kepada-Nya.Insya Allah. Fastabiqulkhoirat!!!

No comments:

Post a Comment