...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Bila Rindu Menggamit

“Rasanya tidak terlewat untuk cikgu mengucapkan Salam Maulidur Rasul buat yang muslim.”
Aku mula berbicara tatkala pelajar-pelajarku baru melabuhkan punggung selepas selesai membaca doa belajar di dalam kelas.
Masuk sahaja aku ke dalam kelas 4 Perakaunan 1 tengah hari tadi, hati teringat untuk berbicara berkenaan Rasulullah S.A.W. Walaupun kelas tersebut hampir separuh pelajarnya adalah bukan Muslim, hatiku nekad berbicara mengenai Rasulullah S.A.W. Sekurang-kurangnya, hati-hati mereka, saudara seagamaku dapatku didik mengingati baginda Rasulullah. Bagi yang bukan muslim, ini salah satu medium penyampaian dakwahku kepada mereka yakni berbicara berkenaan Rasulullah. Siapa tahu, dalam diam ada yang tertarik untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Aku menyambung bicara, “Siapa tahu apa tanda kita cintakan Nabi?”
Sambil menunggu respon daripada mereka, dengan jelas aku dapat mendengar seorang pelajar lelaki menjawab, “Selawat cikgu”.
Jawapannya cepat dan yakin.
Aku menyambung lagi, “Bagus, betul tu, kita kena banyak berselawat pada Nabi. Itulah salah satu tanda cinta kita pada Nabi. Selain itu, apa lagi?”
“Kita amalkan sunnah baginda S.A.W. betul tak?
Marilah sama-sama kita hayati dan amalkan sunnah Rasulullah S.A.W.” suaraku agak mendatar kali ini.
“Siapa tahu apa sunnah Nabi?” aku bertanya lagi.
“Simpan janggut cikgu” jawapan itu membuat aku tersenyum...
”Ya, itu bagi lelaki..”
“Lagi apa?” aku bertanya lagi.
Sayang, mereka menjawab degan mengumat-ngamitkan mulut. Apakah mereka tidak yakin?
Terlanjur bicara aku terus menyatakan apakah sunnah-sunnah baginda seperti puasa sunat Isnin & Khamis, tidur mengiring ke kanan, berbuka puasa dengan tamar dan sebagainya. Mereka tertarik. Ada yang menyambung perkataan-perkataan yang kututurkan...
Ya, inilah umat baginda yang dirinduinya..Hatiku tersentuh, kasihnya baginda pada umatnya, sehingga dalam keadaan sakit sakaratulmaut pun, baginda masih menyebut “Ummati...ummati...” Ya rabbi....kami merinduimu Ya Rasulullah...
Teringat cerita daripada sebuah buku yang membicarakan mengenai bukti kasih sayang Nabi Muhammad S.A.W. kepada sahabat-sahabatnya. Ini dapat dilihat sebagai pengajaran yang terpenting dalam Perang Al-Ahzab. Ia memperlihatkan betapa unggul kasih sayang baginda terhadap para sahabatnya. Ini dapat dilihat dengan jelas, atas kesungguhan baginda melakukan kerja-kerja berat ketika membuat persiapan menghadapi perang al-Ahzab. Baginda tidak sekadar mengalahkan para sahabat menggali parit (khandaq), tetapi baginda turut bertungkus-lumus bekerjasama memecahkan bongkah batu besar yang menghalang pembinaan benteng pertahanan.
Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasa sakit, terasa pedih sehingga ke pangkal hati baginda.
Rasa pedih di pangkal hati itu bukan hanya akibat kerja-kerja berat, tetapi kerana baginda ketika melakukan kerja-kerja berat itu baginda dalam keadaan yang terlalu lapar. Namun baginda tetap melakukannya bersama-sama para sahabat tanpa menghiraukan rasa lapar yang dihadapinya.
Baginda sedar para sahabat juga dalam keadaan lapar, kerana masing-masing tidak mempunyai bekalan makanna yang mencukupi. Oleh kerana perasaan kasih sayang Rasulullah S.A.W kepada sahabat-sahabatnya, baginda tidak rela dan tidak sampai hati membiarkan mereka melakukan kerja-kerja berat membina khandaq tanpa memberikan kerjasama. Justeru, baginda tetap bekerja keras seiring dengan para sahabat, berat sama dipikul dengan penuh semangat. Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah S.A.W mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong.
Apakah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W sanggup melakukan kerja-kerja berat bersama-sama para sahabat dalam keadaan terlalu lapar? Adakah ia didorong oleh keinginan hendak mencari pengaruh di kalangan orang ramai, bagi mengekalkan kedudukan dan lain-lain kepentingan duniawi.
Tidak mungkin seorang nabi yang diasuh oleh Allah SWT secara lansung, memiliki sifat-sifat rendah budi seperti itu. Ia sangat bercanggah dengan tanggungjawab kenabian dan lerasulan yang dipikulnya. Tanggungjawab itu memerlukan seseorang yang berjiwa besar, murni dan berakhlak mulia. Serakus mana sekalipun manusia memburu kepentingan, namun mereka tidak sanggup mengalas perut dengan batu bagi menahan lapar. Ramai manusia yang ingin mengejar sesuatu kepentingan, tetapi mereka akan memilih cara yang mudah.
Jika manusia pemburu duniawi sendiri pun tidak sanggup melakukan tindakan sedemikian rupa, maka jauh sekali kepada Rasulullah S.A.W yang seluruh gerak gerinya bertunjangkan akidah murni. Segalanya dilakukan oleh Rasulullah S.A.W berpunca daripada rasa tanggungjawab sebagai seorang Rasul untuk menyempurnakan amanah, bagi menyampaikan risalah Allah SWT kepada masyarakat manusia seluruhnya.
Tanggungjawab Rasulullah S.A.W bukan sekadar menyampaikan ilmu kepada manusia, bahkan bertanggungjawab memberikan kefahaman, supaya orang yang menerima risalahnya, timbul rasa keinginan untuk mengamalkan ajarannya. Tugas baginda bukan sekadar mengalimkan manusia, tetapi juga supaya manusia beriman dengan apa yang diajarnya. Supaya orang beriman dengan ajaran Nabi itu bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan, malah sanggup menanggup penderitaan dan kesengsaraan hidup, sebagaimana kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung oleh Rasulullah S.A.W sendiri.
Sebagai umat baginda, kita seharusnya bersyukur dan merasa bertuah dipilih sebagai umat baginda. Kitalah generasi penyambung dakwah Rasulullah S.A.W kepada manusia hari ini. Kerana kita sedar umat hari ini, ibarat buih-buih di pantai lautan. Ramai tetapi lemah.........Sedar dan bangkitlah umat Muhammad!!
Bagi yang mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Jom, perbaiki diri ke arah yang lebih baik. Di samping itu, jangan lupa untuk menyeru manusia ke arah kebenaran. Bagi yang sudah membiasakan diri dengan berdakwah, teruskan perjuangan dakwah kalian. Pandanglah para mad’u dari kaca mata ‘Dakwah’ dan ‘Kasih Sayang’. Jangan lupa untuk mengamalkan apa yang didakwahkan
Mari renungkan firman Allah SWT dalam Suran As-Soff. Bait ayat ke- 2
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan ”
...Selamat merenung...
Dan Salam Maulidur Rasul 1431 buat semua. Semoga kasih dan rindu pada Rasulullah kekal tersimpul erat dalam lubuk hati kita.

(Rujukan: Muhammad: Insan Teladan Sepanjang Zaman, tulisan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat)

No comments:

Post a Comment