...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Baja Muhasabah dan Taubat

Takwa mempunyai baja dan apabila ramuan yang sesuai digunakan, TAKWA hidup dengan subur.
Apa baja bagi TAKWA?
MUHASABAH DAN TAUBAT

Umat Islam perlu berani merenung diri dan melakukan muhasabah pada diri sendiri.
Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata,
            “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah”
Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudiannya membuat perubahan yang positif dalam diri, mereka adalah orang-orang yang bakal berjaya.

 Dalam surah Al Imran, 135 Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai golongan yang bertakwa. 

Allah menjelaskan, “Mereka (yang bertakwa) adalah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa merekadan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Antara soalan muhasabah yang perlu direnungi oleh setiap individu hari ini ialah:
1.   Adakah saya menyedari ilmu adalah pintu gerbang segala kebaikan? Adakah saya mengikuti program-program khas yang dapat membantu meningkatkan ilmu agama saya?
Pernah nabi S.A.W bersabda:

“Menuntut ilmu adalah perkara yang diwajibkan ke atas setiap muslim”

(Hadith riwayat Imam Ibn Majah)


2.      Quran adalah penawar dan rahmat bagi manusia. Justeru adakah saya membaca al-Quran setiap hari dan menjadikannya sebagai amalan harian?

Dalam surah al Baqarah ayat 121, Allah menyatakan,

“Mereka yang Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Sesiapa yang ingkar dengannya, mereka itulah orang-orang yang rugi.”

3.    Adakah saya berusaha memahami ayat-ayat al-Quran yang saya baca? Dalam Surah an-Nisa’ ayat 82, Allah bertanya, Apakah mereka tidak tadabur?” (mengkaji isi-isi al-Quran).

4.   Adakah saya meyakini segala ketetapan Allah di dalam al-Quran relevan dan sesuai dilaksanakan pada hari ini? 
     
      Dalam surah al-Baqarah, Allah menjelaskan yang bermaksud, 
                 
      “Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat khinaan di dunia dan pada hari kiamatmereka akan dikembalikan kepada azab yang lebih keras.”

5.   Adakah saya berbangga dengan ajaran islam dan berazam menjadikannya cara hidup saya? Berhubung dengan ini, Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata, “Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.”

6.    Adakah saya sentiasa melaksanakan ibadah yang mewajibkan ke atas diri saya seperti solat, puasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan seumpamanya secara konsisten? Imam Tirmizi melaporkan, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud,

 “Orang yang cerdik dan berakal adalah mereka yang menghitung diri dan mengawal nafsunya serta beramal untuk persiapan selepas mati. Orag yang lemah adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya (di dunia) kemudian mengharap-harapkan kemurahan Allah tanpa melaksanakan amal salih.”


7.  Adakah saya memuja isme, budaya dan cara hidup golongan bukan Islam yang bercanggah dengan agama Islam? Jalan hidup yang bercanggah dengan Islam dikenali sebagai jahiliyah. 

     Mengikut Imam Tabrani dan Bukhari, nabi berkata yang bermaksud: “Allah paling murka kepada mereka yang beragama islam tetapi mengikut landasan jahiliyah, dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak.”

8.  Adakah saya pernah menzalimi hamba-hamba Allah ataupun membantu orang yang menzalimi hamba-hamba-Nya? 

     Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda yang bermaksud, 
      
      “Sesiapa yang melakukan kezaliman (walaupun) dengan mengambil sejengkal tanah, tanah itu akan dikalungkan ke lehernya dari tujuh lapis bumi (pada hari kiamat nanti).”


9.   Adakah saya pernah menzalimi orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam? 

      Mengikut suatu riwayat yang mempunyai sanad yang baik oleh al-Khatib, nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyakiti seorang kafir zimmi aku akan menentangnya dan jika aku menentang seseorang aku akan menentangnya hinggalah ke hari Kiamat.”

10.  Adakah saya mudah berburuk sangka dan suka mencari kesalahan orang lain? 

       Dalam surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyatakan yang bermaksud, 

    “Wahai mereka yang beriman, jauhilah daripada kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain.”


11.Adakah saya memberikan masa mendidik anak-anak saya di smaping menunjukkan contoh yang baik kepada mereka? 

       Mengikut Imam Tirmizi, nabi bersabda yang bermaksud: 
      
       “Tidak ada pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab yang mulia.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas melahirkan rasa insaf di hati. 

Keinsafan melahirkan taubat. 

Taubat yang hakiki itulah dikatakan taubat nasuha

Imam Bukhari dan Muslim melaporkan Nabi S.A.W berkata berhubung dengan seorang lelaki pada zaman dahulu yang membunuh 100 orang lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan sebarang kebaikan meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam rahmat-Nya.

Justeru, Allah mengasihi orang yang berani mengakui kesalahan diri sendiri dan bertaubat. Ia adalah langkah penting untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Di dalam risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata’  

“Taubat adalah langkah permulaan bagi mereka yang ingin mencari keredhaan Allah.”

Sumber: 7 Formula Individu Cemerlang, tulisan Dr. Danial Zainal Abidin (Bab 19: Halaman 57-61)

No comments:

Post a Comment