...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Bersangka baiklah untuk bahagia

Di sebuah desa pedalaman, terdapat sebuah keluarga yang hanya memiliki seekor ayam, seekor ayam dan seekor anjing. Ketiga-tiga haiwan ini amt mereka sayangi kerana memberi manfaat kepada mereka;  ayam untuk membangunkan solat, keldai untuk mengambil air dan anjing untuk menjaga rumah.
Suatu hari, ayam milik keluarga itu telah menjadi mangsa kepada musang. Seisi keluarga menjadi sangat sedih. Namun si ayah berkata:
“Tidak mengapa. Insya Allah (takdir) ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga.”
Beberapa hari kemudian, seekor serigala pula membunuh keldai mereka. Seluruh ahli keluarga kembali bersedih, namun si ayah tetap berkata:
“Tidak mengapa. Insya Allah (takdir) ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga.”
Selang beberapa waktu berlalu, anjing mereka pula mati secara tiba-tiba. Seluruh ahli keluarga kembali lagi bersedih. Si ayah kembali berkata perkara yang sama:
“Tidak mengapa, insya Allah baik untuk kita”
Pada suatu hari, sebaik terbangun daripada tidur, mereka dapati seluruh penduduk desa telah ditawan dan dibawa pergi oleh sekumpulan perompak pada malam tersebut. Hanya ahli keluarga ini sahaja yang selamat, sebab perompak-perompak itu hanya mendatangi rumah-rumah yang terdengar bunyi suara haiwan di dalamnya sahaja.
Itulah senario baik sangka kepada Allah yang didapatkan dari kisah yang sangat indah yang diriwayatkan oleh al Hafiz Ibn Abi al-Dunya dalam kitab al-Ridha ‘Anillah, daripada seorang ulama tabiin di Kufah bernama Masruq bin Ajda.

Apabila Allah menguji seorang dengan musibah atau tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmah. Berbaik sangkalah kepada Allah kerana jika kita bertafakur dengan lebih mendalam lagi, sebenarnya tidak ada musibah atau tuah. Yang ada hanyalah ketentuan Allah S.W.T. Kita menyebutnya sebagai musibah kerana mengukurnya dengan keinginan dan pengetahuan kita yang sangat sempit dan terhad. Namun apabila kita cuba merenungi sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Luas pemikiran Allah S.W.T, apa yang kita sebut sebagai musibah hakikatnya ialah tuah.
Seseorang yang meyakini bahawa Allah S.W.T  ialah Tuhan yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan memiliki sifat-sifat kesempurnaan lainnya, maka setiap ketentuan Allah akan diterima dengan baik sangka (husn al-zan).
Ia mempercayai sepenuh hati firman Allah S.W.T bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Surah Al-Baqarah, 216)
Selain daripada bersangka baik pada Allah, kita perlu melalui anjakan pola pemikiran untuk mengelakkan tekanan pada diri. Dan, perubahan pola pemikiran itu pernah disampaikan dan dicontohi oleh pelbagai ulama silam. Berikut ialah serba sedikit tips bagi menangani tekanan
PERTAMA:
Apabila menghadapi musibah, selalu menjaga pemikiran kita sepositif mungkin. Antaranya adalah dengan meyakini bahawa musibah ini sebagai petanda bahawa Allah sedang menguji  kita sebagai seorang Mukmin. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Seseorang mukmin laksana pokok tanaman, setiap kali angin lalu menghentamnya. Dan seorang munafik laksana tumbuhan padi, ia tidak akan dicabut melainkan ketika waktu menuai.”
Juga meyakini bahawa Allah S.W.T sedang membersihkan dosa-dosa kita. Dalam kitab Muwatha dan Sunan al-Tirmizi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bala sentiasa menimpa diri dan anak-anak dan harta seorang Muslim atau Muslimah, sehingga ia menghadap Allah tanpa membawa dosa sedikit pun.”
Apabila anda mengalami kecurian, cuba lakukan seperti kisah yang diceritakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin ini. Suatu ketika seorang lelaki soleh kehilangan wangnya. Setelah puas mencarinya, ia baru menyedari bahawa seseorang telah mencurinya. Ia segera berkata: “Semoga Allah memberkatinya. Mungkin dia lebih memerlukan wang itu daripada saya.”

KEDUA:
Apabila ditimpa musibah, perkara pertama yang mesti kita lakukan adalah membayangkan  betapa besarnya nikmat yang Allah berikan, maka kita akan hadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan penuh keredhaan. Dalam hadith riwayat at-Tirmizi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan sesuai dengan besarnya bala (dugaan). Dan sesungguhnya jika kita mencintai sesuatu kaum, ia akan menimpakan bala kepadanya. Sesiapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan (daripada Allah). Dan barangsiapa yang benci, maka ia akan mendapat kebencian.”
Suatu hari seorang wanita solehah, isteri kepada Imam Fath al-Musili, tersadung sesuatu sehingga patah kuku jari kakinya. Beliau hanya tertawa melihat darah yang mengalir dari jarinya itu. Seseorang bertanya: “Tidakkah engkau berasa sakit?” Ia menjawab: “Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitan yang aku rasai.”
KETIGA
Hendaklah berfikiran luas dan mendalam terhadap sesuatu musibah dengan melihat daripada pelbagai segi dan sudut. Suatu hari ada seorang mengeluh mengenai kesusahan kehidupannya kepada Muhammad bin Samak, seorang Imam yang sangat zuhud. Ia mengeluh kerana dibebani hutang dan kesulitan mendapatkan wang. Ibn Samak lalu bertanya kepadanya: “Berapakah wang yang engkau perlukan?”
Ia menjawab: ”Sepuluh ribu”.
Ibnu Samak bertanya lagi: “Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu tetapi matamu hilang?”
Si fakir menjawab: “Tidak mahu.”
Ulama itu berkata lagi: “Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu tetapi lidahmu bisu?”
Ia menjawab, “Tidak mahu.”
“Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu tetapi kaki dan tanganmu terputus?”
Sekali lagi orang itu menjawab, “Tidak mahu.”
Ulama yang bijak itu lalu berkata: “Kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wang tiga puluh ribu, tapi mengapa masih bersedih?”
                                                            (Diolah dari tulisan Umar M Noor, SOLUSI, Isu No 19)

No comments:

Post a Comment