Hari ini merupakan hari pertama aku melaporkan diri di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat. Aku bersemangat yang luar biasa, Alhamdulillah, tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata betapa syukurnya aku pada Allah...
Pernahkah terfikir, betapa banyak urusan kita dipermudahkan oleh-Nya sampai kita sepatutnya terasa malu pada Allah kerana betapa banyak nikmat yang kita kecapi sedangkan syukur yang kita zahirkan hanyalah secebis.
Ya Allah, tetapkanlah hati kami untuk terus mensyukuri nikmat-Mu.
Seharian aku di sekolah buat aku belajar. Belajar menjadi seorang guru. Insya Allah sepanjang aku ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) dan berpraktikal, aku akan pastikan niatku semata-mata kerana-Mu Ya Allah. Aku ingin belajar menjadi seorang guru yang berdedikasi dan penuh keikhlasan.
Teringat kata-kata GPK kanan, Pn Khuzaimah siang tadi, katanya, jika mengajar betul-betul ikhlas, pulangannya akan kembali kepada kita. Pulangan bermaksud, anak-anak kita mendapat kejayaan dan kepuasan pasti dicapai. Tetapi itu bukanlah ganjaran yang utama harus kita sebagai seorang pendidik kejarkan. Yang lebih penting adalah ganjaran akhirat yang tidak terperi nikmatnya. Aku percaya sekiranya seseorang guru itu benar-benar ikhlas menyampaikan ilmu dan sabar dalam mendidik anak muridnya, di mana dia mengajar kerana ingin melihat anak didiknya berjaya di dalam hidup di dunia dan di akhirat, nescaya Allah membalasnya dengan ganjaran yang setimpal....Subhanallah.
Setiap guru yang dekat dengan Pencipta-Nya, mendambakan menjadi seorang guru yang berjiwa hamba dan khalifah. Berjiwa hamba, hatinya sentiasa dekat dengan Allah. Setiap detik hatinya ingat Allah. Jika ingin melakukan sesuatu perkara daripada sebesar-besar urusan sehinggalah yang terkecil, pasti hati kecilnya berbisik, “Adakah Allah redha akan perbuatanku ini?” Seandainya ia buruk, maka beristighfarlah hati guru itu menyesal atas niat tidak baiknya itu. Dan seandainya, perkara yang baik, ia diiringi dengan hamdallah memuji Allah atas ilham melakukan kebaikan yang dikurniakan oleh-Nya. Seandainya guru ini telah berazam, maka akan dipeganglah tekad itu sekemas-kemasnya. Tidak goyah dan tidak tunduk pada apa-apa pun yang ingin menggugat. Sekiranya guru ini telah terlanjur melakukan kesilapan, maka menangislah hatinya, imannya merintih. Dosa dirasakan umpama gunung yang akan menghempapnya. Betapa jauh dirinya dengan Tuhan. Lantas dia akan bangun di kedinginan malam. Tika dinihari itulah hatinya sayu mengenangkan diri yang penuh dengan dosa dan kehinaan atas keterlanjuran perbuatannya. Dalam tangisan kekecewaan, guru tersebut percaya bahawa Tuhan itu Maha pengampun. Penuh rahmat, penuh kasih sayang. Hatinya yang pedih menjadi sejuk mengenangkan kasih sayang Tuhannya, sambil berharap dan terus berharap mendambakan maghfirah-Nya.... Hatinya dipenuhi kecintaannya kepada Tuhan-Nya. Kasihnya tidak berbelah bahagi. Seandainya guru tersebut ingin memilih teman, dia akan memilih teman yang mendekatkan dirinya dengan Tuhan..Dia akan selalu berdoa, semoga suatu hari nanti dia dipertemukan Allah dengan insan yang apabila melihatnya hati teringat Allah, mendengar kata-kata teman tersebut menambah ilmu, melihat gerak-gerinya teringat mati....itu yang selalu didambakan guru tersebut. Justeru dia bertekad bahawa dia harus selalu kuat untuk konsisten dalam berdoa.
Guru yang jiwanya dekat dengan Tuhan itu juga mendambakan hati yang berjiwa khalifah. Berjiwakan khalifah di mana kehidupannya dihabiskan dengan berjuang menegakkan agama Allah melalui penyampaian ilmu, penyaluran kefahaman, dan penghayatan ilmu yang mendekatkan muridku dengan Tuhan. Strategi yang utama pastinya menguasai ilmu dunia dan akhirat yang seiring. Dia akan cuba jadi perancang yang terbaik dalam menyampaikan ilmu. Ini penting bagi mengelakkan muridnya bosan dengan pembelajaran. Bila murid berasa bosan, mereka tidak minat belajar, Justeru ini membantutkan pemikiran, idea, kebolehan, kecenderungan dan bakat yang mereka ada. Dia ingin jadi guru yang memberi peluang mereka mengembangkan bakat mereka semaksiimum mungkin. Agar mampu melahirkan, saintis, doktor, jurutera, ahli kimia yang bukan sahaja pakar dalam mereka cipta sesuatu yang canggih dan bermanfaat tetapi juga jiwa-jiwa mereka sangat dekat dengan Rabb-nya.
“Sekiranya kamu telah berazam, maka bertawakallah kamu kepada Allah....”
“JALAN-JALAN KEHIDUPAN”
18 Januari 2010
10:32 PM
No comments:
Post a Comment