...:::AHLAN WASAHLAN:::...

Surat Cinta Buat Seorang Hawa



Cemburu kulihat sang pungguk memadu rindu dengan Sang Bulan. Cemburu kulihat Sang Helang terbang berdua-duaan. Cemburu juga aku pada Si Belangkas yang hidup berkasih sayang. Tapi, aku terus kepiluan...
Hawa yang dicipta untuk kaumku bukan lagi Hawa yang dulu.

Kuterbang bebas dalam duniaku. Ibarat Sang Helang yang gagah melebar sayap di ufuk Timur, berani...Kuibaratkan kau Hawa umpama sayap kiriku ini. Lantaran tinggi nilaimu di hati lelaki. Kuterbang setinggi-tingginya meredah awan tanpa ada tembok membataskan, tanpa ada dinding yang menghalang. Tatkala sesekali bayu kencang menerjah, kuterbang rendah.

Hawa...
Bukan kutewas dengan bayu nan kencang..biarpun aku umpama helang yang gagah perkasa dan raja udara yang unggul di awanan. Namun andainya sebelah sayapku kuat tapi sebelah lagi tergeliat...kutidak mampu menongkah ribut yang menggila mengikut haluanku..Berat untukku menghadapinya dengan sayap kanan cuma. Kau tahu Hawa, aku jadi derita...

Hawa...
Kuteruskan jua perjalanan dengan ketabahan. Kubawamu bersama dalam kepayahan. Kau memarahiku kerana egoku. Kau leteri semahumu. Tanpa kau dengari kalamku. Andainya hilang ego lelaki, maka musnahlah dunia tanpa kepimpinan..Kerana ego mencipta karisma dan kepimpinan.


 Namun tatkala egoku menjadi egoisme, maka disitulah aku perlukan teguran.  Terbang di langit tanpa batasan, sering kuterbabas, hilang arah dan panduan. Kuharapkan kritikan serta pesanan berpanjangan, agar kutetap terbang di awanan, menjadi jaguh helang terbilang. Tapi, tafakurku sejenak di pepohonan...

Hawa...
Kau diciptakan indah, bukan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya, tapi daripada rusukku...dekat dengan dadaku untuk dilindungi, dekat pula dengan hatiku untuk disayangi dan dicintai.

Hawa...
Dulu, kuperlukanmu sebagai teman berbudi. Menemani tugasku sebagai khalifah di bumi. Kaulah cerminku yang sentiasa memuhasabah diri. Tapi kini keindahanmu yang sering kupuja, kau salah erti....Kau tampil menghiburkan dunia dengan susuk tubuh yang menggiurkan.

Kaumku kekaburan. Matanya bertelanjang. Hatinya lemas ditelan keasyikan. Ah memang kaumku suka mengambil kesempatan! Tapi, kenapa kau jual dirimu bak barang pameran? Di mana hilangnya malumu yang menjadi hias pakaianmu?

Tidakkah kau tahu, tubuh montokmu jadi hidangan enak buat mata, tetapi racun pada jiwa. Aku bisa terhumban ke neraka kerananya. Kau gunakan keistimewaaanmu untuk menggoda. Air matamu untuk menipu daya dan panahan matamu untuk melemahkan iman.

Oh Hawa...
Aku rindukan Hawa yang dulu...
Malu...terjaga...terpelihara...

Hawa...
Kutahu, kau ibarat rusuk nan rapuh dan bengkok, perlu hati-hati untukku luruskan. Lantaran itu, kudatang bukan untuk menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki...bukan juga mengugut dengan paruh yang berbisa...Tapi supaya direnung bersama. Bahawa antara kita perlu sentiasa perbaiki diri.

Dengarlah bisikan kasihku, sesungguhnya aku rindukan Hawa yang dulu, sesuci Maryam, seteguh Asiah, setulus Khadijah, setabah Fatimah...

Hawa...
Namamu indah, biarpun di mana, di segenap jiwa
Kaulah ibu, terukir kasih di paparan dada
Kaulah kekasih, dirindui saban ketika
Kaulah puteri, pengubat duka, penyejuk mata
Kaulah adik, pemberi semangat paling berguna
Kaulah mukminah, terukir indah di setiap dada

Ketahuilah Hawa,
Kau kupuja...
Kerana dari rahimmu, melahirkan kaumku yang berhati waja
Kerana ayunan lembut tanganmu, membesarkanku dengan terjaga
Kerana kewanitaanmu, teman hidup tempat cintaku berbicara
Kerana kaulah ladang tanaman, taman nafsuku yang bergelora
Kerana kau adalah hiasan, paling indah dari dunia seisinya

Maka kudatang padamu Hawa...
Membawa ubat dengan penuh cinta
Ubatilah dirimu...
Agar kudapat terbang menguasai angkasa dan alam
Dengan kedua-dua sayapku yang kuat dan mantap
Agar bukan sahaja ku dapat menongkah angin nan kencang
Bahkan sayapku kibar penuh bangga
Mencipta angin.....
-       Adam

Sumber Rujukan ( Petua Membuat Orang Jatuh Cinta tulisan Dato’ Dr Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah, Hj Muhammad Zakaria, Fatimah Syarha Mohd Noordin, mukasurat 33-35).

No comments:

Post a Comment